Wednesday, October 6, 2010

Sejarah Adat Perpatih Dan Adat Temenggung





Adat Perpatih

Asal Usul
 Adat Perpatih
Adat Perpatih berasal dari tanah Minangkabau, Sumatera, diasaskan oleh seorang pemimpin Minang bernama Sutan Balun yang bergelar Dato' Perpatih Nan Sebatang. Adat ini adalah amalan dan peraturan hidup yang ditentukan bagi masyarakat Minangkabau yang rata-ratanya adalah petani ketika itu. Tidak ada tarikh yang tepat dicatatkan bila adat ini diwujudkan. Tetapi Adat Perpatih telah dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) oleh perantau-perantau Minangkabau pada abad ke 14 Masehi.
Di Malaysia, Adat Perpatih ini masih lagi wujud dan diamalkan oleh masyarakat Melayu di Negeri Sembilan dan sebahagian dari Melaka terutamanya Masjid Tanah. Majoriti mereka adalah keturunan Melayu Minangkabau.

Struktur Masyaraat Adat Perpatih


Masyarakat Adat Perpatih terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu Perut, Suku, dan Luak. Perut adalah unit sosio-politik yang terkecil di mana anggota sesuatu perut itu adalah berasal daripada moyang (keturunan perempuan) yang sama. Mereka ini sangat rapat dan lazimnya tinggal di sesuatu perkampungan atau kawasan yang sama. Setiap perut mempunyai seorang ketua yang digelar Buapak.Buapak ini dipilih oleh anak-anak buah di dalam sesuatu perut berkenaan. Kumpulan yang kedua ialah suku. Suku dibentuk oleh beberapa perut yang menjadikan keluarga berkenaan semakin besar. Suku diketuai oleh seorang ketua yang digelar Dato' Lembaga. Kumpulan ketiga ialah Luak. Luak adalah unit kawasan pentadbiran dari segi adat di mana ada empat luak utamaiaitu Rembau, Sungai Ujung, Johol dan Jelebu. Setiap luak diketuai oleh seorang Undang. Selain daripada empat luak utama ini ada satu lagi luak yang kelima dipanggil Luak Tanah Mengandung. Luak Tanah Mengandung ini adalah terdiri daripada lima luak kecil di Seri Menanti iaitu Luak Inas, Luak Ulu Muar, Luak Gunung Pasir, Luak Terachi dan Luak Jempol. Setiap luak kecil ini ditadbirkan oleh seorang ketua yang bergelar Penghulu Luak.
Adat Perpatih ini diwariskan dari generasi ke generasi melalui kata-kata perbilangan. Ia merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat termasuk soal harta pusaka, perlantikan pemimpin, hukum nikah kahwin, amalan bermasyarakat, sistem menghukum mereka yang melanggar adat atau melakukan kesalahan dan pelbagai aspek lagi. Setiap peraturan atau adat itu ada perbilangannya dan setiap peraturan itu ada rasional atau sebab-sebab terjadinya hukum atau adat itu.
Perlantikan pemimpin, misalnya, banyak yang menyamakan sistem Adat Perpatih dengan amalan demokrasi. Contohnya ialah perlantikan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan di mana bukannya melalui keturunan dari bapa ke anak tetapi adalah melalui pemilihan oleh Undang Luak yang empat iaitu Undang Rembau, Undang Sungai Ujung, Undang Johol danUndang Jelebu. Empat undang ini akan bermesyuarat untuk melantik salah seorang keturunan dari raja Pagar Ruyung untuk menjadi Yang DiPertuan. Undang Luak pula dilantik oleh Dato'-Dato' Lembaga di luak (daerah) masing-masing. Dato' Lembaga ini pula adalah pemimpin-pemimpin yang dilantik secara muafakat oleh pemimpin-pemimpin keluarga yang digelar Buapak. Oleh itu secara keseluruhannya kuasa melantik pemimpin itu sebenarnya berada di tangan rakyat biasa.Inilah satu sistem Adat Perpatih yang ada persamaan dengan demokrasi.
Prinsip - prinsip Adat Perpatih

Adat Perpatih memberi keistimewaan kepada perempuan mempunyai lima prinsip utama.
1.    Keturunan dikira melalui nasab : ibu yang dianggap bonda kandung iaitu ibu yang melahirkan anggota-anggota masyarakat. Seseorang individu itu adalah anggota suku ibunya dan bukan anggota suku bapanya.
2.    Tempat Kediaman adalah di kawasan ibu isteri: Apabila berlangsungnya sesuatu perkahwinan, si lelaki akan meninggalkan kampung halamannya dan menetap di kawasan ibu isterinya sebagai orang semenda. Pada zaman dahulu si lelaki akan mengusahakan tanah keluarga isterinya.
3.    Perempuan mewarisi pusaka, lelaki menyandang sakaHanya lelaki sahaja yang berhak menyandang saka (jawatan-jawatan dalam adat) manakala perempuan adalah mewarisi harta pusaka keluarga ibunya.
4.    Perkahwinan seperut atau sesuku adalah dilarangDalam sesuatu perut dan suku, hubungan adalah rapat dan si lelaki menganggap perempuan dalam perut atau sukunya adalah saudara perempuannya. Begitu juga sebaliknya. Oleh itulah perkawinan sesama suku ini adalah terlarang. Perempuan yang berkahwin sesama suku akan hilang haknya untuk mewarisi harta pusaka ibunya manakala lelaki pula akan hilang hak untuk menyandang sebarang jawatan dalam adat.
5.    Orang luar boleh menjadi ahli sesuatu suku: Untuk tujuan perkahwinan atau waris mewarisi, dibenarkan orang luar untuk menjadi ahli sesuatu suku dengan cara melalui upacara berkedim. Dalam upacara ini seseorang itu akan bersumpah taat setia dan bersaudara dengan ahli-ahli suku yang akan disertainya.

Pembahagian Harta
  Selalu menjadi topik perdebatan hangat mengenai Adat Perpatih adalah mengenai pemberian harta pusaka yang memberikan kelebihan kepada perempuan. Inilah satu-satunya isu dalam Adat Perpatih yang selalu disalah fahamkan. Sebenarnya, pemberian pesaka yang dimaksudkan dalam adat ini ialah pemberian tanah adat. Tanah adat ini adalah tanah yang turun temurun daripada nenek moyang sesuatu keluarga. Sebabnya tanah adat ini diberikan kepada perempuan ialah semata-mata untuk menjaga kehormatan dan maruah kaum wanita Adat Perpatih. Maksudnya, seorang wanita Adat Perpatih walau betapa miskin dan papa pun, dia tidak akan merempat atau menjual maruahnya untuk hidup. Jika dia pulang ke kampungnya dia sudah ada tanah kampung dan sawah untuk dikerjakan sebagai penyambung rezeki. Manakala anak lelaki pula dianggap lebih teguh dan tahu untuk terus berusaha untuk hidup (survival). Akan harta atau tanah yang diperolehi sebagai harta sepencarian maka pembahagiannya adalah menurut hukum faraid (tidak ada kena mengena dengan tanah adat yang hanya untuk perempuan sahaja).


Adat Temenggung




      Adat Temenggung merupakan undang-undang adat Minangkabau yang diamalkan di Negeri-Negeri Melayu (pada asalnya bermula daripada Kesultanan Melayu Melaka sebelum diwarisi turun temurun oleh negeri-negeri Melayu yang lain) kecuali Negeri Sembilan yang mengamalkan Adat Perpatih. Adat ini diasaskan oleh Datuk Ketemenggungan (abang tiri kepada Datuk Perpatih Nan Sebatang yang mengasaskan Adat Perpatih) yang berasal dari Sumatera.
      Wujudnya istilah "Adat Temenggung" adalah berkait dengan munculnya istilah "Adat Perpatih" kerana istilah ini tidak ada dalam budaya Melayu yang awal. Disebabkan oleh Adat Temenggong diamalkan di hampir semua negeri-negeri Melayu, maka Adat Temenggong telah bercampur dengan undang-undang adat Melayu sedia ada yang mempunyai nama yang berbeza mengikut negeri. Antaranya ialah Undang-Undang Melaka, Undang-Undang Johor dan Undang-Undang Kedah.

  Perbezaan Antara Hukum Adat Perpatih Dan Adat Temenggung
      Adat perpatih dan adat temenggung dapat di kategorikan sebagai hukum adatdi negeri-negeri Melayu.Adat ini berasal di utara Sumatera dan dikembangkan oleh dua beradik iaitu Datuk Ketemengungan yang kemudiannya berkuasa di Palembang (Adat Temenggung) dan Datuk Perpatih Nan Sebatang yang kemudiannya berkuasa dia Pagar Ruyung(Adat Perpatih).
      Adat temenggung diamalkan di semua negeri kecuali Negeri Sembilan dan Naning di Melaka yang mengamalkan adat perpatih.Hukum adat ini dipercayai dibawa masuk sekitar abad 15M dan kemudiannya berkembang di negeri-negeri taklukan Melaka. Contoh undang-undang Johor dan Kedah,Undang-undang Pahang di Pahang dan Undang-undang 99 Perak di Perak.Adat temenggung kemudian diresapi dengan pengaruh Islam dan hukum syarak bermazhab Shafie.

                                    HUKUM ADAT PERPATIH

                                                   Politik


- bersifat demokrasi iaitu perlantikan pemerintahdibuat dari bawah iaitu anak buah memilih buapak,buapak memilih lembaga,lembaga memilih undang dan undang melantik Yamtuan Besar.


- para pembesar yang berada di hierariki lebih ke bawah melantik pembesar.Keputusan yang diabuat Yamtuan besar juga adalah berdasarkan keputusan bersama undang.


               Kekeluargaan dan Perkahwinan


-     mengamalkan hidup secara bersuku-suku iaitu hidup secara berkeluarga dengan ahli-ahlinya terdiri daripada satu ikatan sedarah sedaging.
-     setiap suku mempunyai nama sendiri seperti biduanda,hampar,paya kumbuh,mungkal, dan sebagainya.
-     jika berlaku penceraian atau si isteri meninggal dunia,maka si suami akan kembali semula kepada sukunya yang asal manakala anak-anak mereka bukan menjadi hak keluarga asas pasangan suami isteri tetapi hak rumpun ibunya.

           Undang-undang
-     dalam undang-undang perpatih,undang-undang jenayah lebih bersifat menyedarkan  manusia bertimbang rasa dan bersifat pemulihan.
-     yang dipertuan besar atau undang sahaja yang boleh menjatuhkan hukuman bunuh.



          HUKUM ADAT TEMENGGUNG


                                     Politik
-     bersifat autokrasi,iaitu kuasa terletak di tangan pemerintah atau raja. Kuasanya diperkukuhkan dengan konsep Dulat dan Derhaka.
-     kuasa raja dikaitkan dengan kesaktian,sesiapa yang melanggar akan terkena tulah raja.
-     penggunaan warna tertentu (kuning,putih) dan bahasa seperti "santap".
-     Raja dan Sultan mempunyai kuasa mutlak dan berhak melantik pembesar (diperingkat negeri,jajahan,mukim dan kampung).
-     jawatan Sultan adalah bersifat warisan iaitu putera sulungnya dilantik jika kemangkatan Sultan.
-     turut mewariskan peranan pembesar dalam membantu Sultan,dibahagikan kepada beberapa lapisan yang membentuk piramid hierariki.

                          Kekeluargaan dan Perkahwinan
-     membenarkan perkahwinan dengan sesiapa sahaja asalkan tidak bercanggah dengan hukum syarak dan bersesuaian dengan kehendak individu dengan persetujuan keluarga.
-     'larangan berkahwin' mengikut hukum syarak iaitu berkahwin dengan orang yang mempunyai pertalian darah  : perepmpuan yang bersaudara,orang yang bukan islam, dan saudara sepersusuan.
-     adat ini memberi keutamaan yang sama kepada pihak lelaki dan perempuan.Pihak lelaki cuma dilebihkan kerana hukum syarak.Kaum lelaki dikira ketua keluarga dan nasab keturunan dikira sebelah bapa.
                                                Undang-undang

-     dalam adat temenggung,undang undang jenayahnya lebih tegas dan keras.
-     hukuman terhadap kesalahan pembunuhan adalah membunuh pesalah.
-     Raja yang akan menjatuhkan hukuman.
-     ia bertujuan untuk memberi iktibar kepada orang lain dan pembalasan kepada si pesalah.

Kesimpulan
                   Adat perpatih dan adat temenggung jelas mempunyai perbezaannya.Walaubagaimanapun,kedua-dua hukum adat mempunyai maksud yang samaiaitu melindungi anggota masyarakat,hidup dengan mematuhi peraturan,berdisiplin,menghormati     sesama manusia dan mematuhi adat istiadat.

Kedua-dua hukum adat masih diamalkan sehingga hari ini.






No comments:

Post a Comment